PAPARAN kisah unik masyarakat dijadikan plot utama penceritaan sesebuah drama mahupun filem tempatan jarang dipertontonkan di kaca televisyen (TV).
Menyedari industri drama tanah air ketandusan idea-idea yang sebegitu, Unit Drama Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sentuhan terbaru dengan menghasilkan Makbul, sebuah drama bersiri yang bergenrekan kemasyarakatan serta penuh dengan elemen keislaman.
Menariknya, Makbul bukanlah seperti drama komersial biasa yang sering berpaksikan cinta antara remaja.
Sebaliknya, ia mengetengahkan kisah kealpaan manusia dalam mengamalkan doa untuk mencapai hajat mereka.
Drama yang diterbitkan sebanyak 13 episod itu dijangka menjadi bualan ramai kerana tema yang disajikan cukup dekat dengan jiwa komuniti kini.
Lebih menarik, bintang utama siri itu ditunjangi oleh pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan, Kartina Aziz, Khatijah Tan dan Fathil Dani.
Menurut pengarah siri berkenaan, Asri Alias, walaupun Makbul tidak banyak memper-taruhkan barisan pelakon muda, dia yakin kesegaran jalan cerita yang diketengahkan mampu menarik minta audiens.
"Saya percaya, jalan cerita yang disertakan dengan skrip yang kuat mampu membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk mereka.
"Ditambah pula dengan lakonan mantap para pelakon veteran, Makbul boleh memberi kelainan kepada audiens," katanya pada majlis pratonton drama tersebut di Wisma TV RTM, baru-baru ini.
Selain itu, penampilan seorang muka baru, Yushazizi Yusof yang memegang watak Bol menjadi taruhan utama Asri dalam drama ini.
Walaupun pertama kali berlakon di kaca TV, bakat yang ditonjolkan Yushazizi menerusi Makbul cukup mengkagumkan.
Jelas Asri, Yushazizi adalah aktivis teater negeri Kedah. Jadi, kemampuannya menghayati watak Bol, seorang pemuda kampung yang lurus bendul sangat menyerlah.
"Saya yakin, lakonan Yushazizi berjaya memberi impak kepada para audiens dan mengasihani watak Bol yang dibawakannya," tambah Asri.
Turut berlakon dalam drama ini ialah Mubarak Majid, Zakaria Yusoff, Wan Maimunah, Zulkifli Ismail, Kazar Saisi, Sheila Mambo, Abu Bakar Juah dan ramai lagi.
Skrip Makbul ditulis oleh Zabidi Mohamed dan 90 peratus penggambarannya dijalankan di Yan, Kedah. Ia ditayangkan setiap Khamis pukul 9 malam di TV2 mulai 7 April lalu.Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment